Centrina


Apa yang menggembirakanku....????

UNTUK SENTIASA BERSAMA ORANG YANG AKU SAYANGI

Tapi semua jauh dariku dan kian menghilang.....dan aku tak punya pilihan
untuk menghalang sebuah kematian dan perpisahan

Centrina


Aku di kampung. Dari tingkap bilikku, aku merenung kerusi batu di belakang rumah. Tempat di mana abah selalu bersantai menikmati pemandangan alam di kelilingi kebun dokong dan rambai hasil usahanya 20 tahun yang lalu. Suasana tempat itu dah berubah. Rumput-rumput meninggi sehingga ke paras betis. Lumut-lumut hijau pada kerusi batu juga kian menebal. Baru hampir 6 bulan abah meninggalkan kami. Persekitaran rumah sudah tak lagi terurus. Aku mula menyedari. Betapa bakti abah sebenarnya sangat-sangat besar. Walau kudrat cuma mampu mencabut rumput dengan genggaman tangannya kerana tidak lagi mampu menghayun cangkul semenjak melalui pembedahan memasang bateri jantungnya, abah mampu menjaga laman belakang rumah untuk kami semua rasa selesa dan gembira. Tidak seperti sekarang. Melihat berlumutnya kerusi batu itu, hakikatnya berlumutnya hati-hati kami untuk terus menikmati keadaan sekeliling sejak semuanya dah berubah. Pada hal, masa ada nya abah. Di situlah tempat kami bersantai minum-minum petang, makan kiuh atau goreng pisang sambil sembang-sembang. Abah mesti sedih andai mampu pulang menjenguk laman kesukaannya....

Entah kenapa, angin juga bagaikan tak lagi berhembus. Hatiku sayu. Dan aku menangis lagi. Sungguh aku merindui semua kenangan lalu bersama abah. Di kerusi batu itu juga, pernah rakan-rakan rapat dengan ku bersantai ....biar hanta kerusi batu. Kenangan pada satu laman itu, menggamit perasaanku....
Centrina

Pada laluan lorong-lorong kehidupan ini. Masa terus berdetik. Terkadang detik waktu itu menggegar degup jantung. Dan kerapnya detik waktu itu menitiskan airmata. Kerapnya, bila sendirian merempuh lorong-lorong kehidupan, berjauhan dari keluarga, akan kelemasan dalam kegelapan, ketakutan, kebimbangan. Namun harus terus pastikan... diri terus sedar. Tidak pitam dalam kelemasan. Biar pun payah meredah lorong-lorong kehidupan tanpa orang tersayang, Harus terus berdiri ! Kerana dari kejauhan... masih ada kehidupan lain yang mengharapkan semangat kita, demi meneruskan hidup mereka.

Andai diri tidak mampu menjadi matahari yang menerangi semesta alam, impikanlah agar diri dapat kiranya menjadi bulan yang dapat menerangi malam atau sekadar menjadi bintang yang memberi pertunjuk kepada pengembara tika meredah luasnya lautan.